Monday, 8 July 2013

Koleh Kacang



Salam kepada semua warga siber.  Hari ni saya paparkan entri pertama saya iaitu kuih tradisional Melayu; kuih Koleh-koleh Kacang.  Terus terang saya memang tak pandai membuat kuih tradisional. Memasak pun pakai campak-campak saja. Dulu pun masa belajar di kolej masakan pun saya di dalam pengkhususan pastri dan kek. Tiba-tiba bila dah berumur macam sekarang ni, teringin betul nak belajar masak masakan tradisional.  Bak kata adik bongsu saya, "awak ni orang dah naik kapal terbang, awak baru terhegeh nak beli tiket," haha besar gelak saya. Tapi nak buat macam mana, baru sampai seru. Hihi.

Ini kali keempat.  Bukan kedua, ketiga, tapi keempat.  Kuih ni memang kesukaan saya masa kecil dulu.  Samada yang dibuat oleh Mak Tok atau pun emak saya.  Kedua-duanya lain resepinya.  Arwah Mak Tok yang saya panggil sebagai 'Emak'  membuat kuih ini tanpa memasaknya.  Caranya; dia akan menggoreng kacang hijau, mesin sehingga halus kemudian dicampurkan dengan air gula melaka dan secubit garam.  Ala-ala 'candy'.  Manakala emak pula mengacaunya atas dapur sama seperti resepi yang biasa.  Sedap, memang sedap.  Pada saya, kalau suami dan anak-anak mintak berulang kali tu, maknanya kuih kita menjadi.

Sebelum itu, saya sarankan gunalah santan segar.  Bagi saya untuk resepi ini, gunakan sebiji kelapa parut. Untuk mendapatkan secawan santan pekat, kisarkan kelapa parut bersama 1 1/2 cawan air. Kalau boleh gunakan air yang telah dimasak supaya kuih kita tahan lama.  Untuk mendapatkan santan kurang pekat (tak berani nak cakap cair sebab santan masih pekat pada kali kedua diperah), mesin lagi kelapa parut bersama 3 cawan air masak.

Ok, mari kita buat kuih!

Ini resepi emak saya:

Koleh Kacang

Bahan-bahan:

1 cawan tepung kacang hijau (saya guna brand Alagapas)
2 cawan + 3 sudu besar santan
secubit garam
2 - 3 sudu minyak kelapa

1/2 cawan gula merah *
1/2 cawan gula pasir*
secawan air*
daun pandan yang disimpul*

(* dimasak bersama sehingga kedua-dua jenis gula larut)

Tahi Minyak:

2 cawan santan pekat

(masak di dalam kuali, kacau selalu sehingga bergentel dan keperangan)

Cara-cara:

1. Masak santan pekat untuk dijadikan tahi minyak.   Kacau santan sehingga bergentel.  Apabila tahi minyak bertukar keperangan, tutup api; ini kerana tahi minyak cepat hangus.  Tapis, ketepikan.  Ambil minyak tapisan untuk dimasukkan ke dalam adunan tepung, lebih kurang 3 sudu besar.

2. Masak tepung kacang hijau bersama santan, secubit garam dan air gula merah yang telah ditapis. Gunakan api sederhana dan terus mengacau adunan sehingga likat.  Untuk mengetahui adunan telah cukup masak, senduk sedikit adunan, tuang semula ke dalam periuk.  sekiranya adunan telah cukup masak ia akan turun agak perlahan dan adunan keluar buih-buih kecil atau gelembung udara.

3.Setelah masak, tuang adunan ke dalam loyang empat segi berukuran 8"x 8"x 2" yang telah digris. Taburkan tahi minyak di atasnya.  Siap.

4.Sejukkan kuih sebelum dipotong.  Untuk pengetahuan semua, resepi ini menghasilkan kuih yang agak lembut jadi kalau boleh saya cadangkan sejukkan di dalam peti ais paling kurang selama 6 jam, barulah dipotong dan dihidangkan.

No comments:

Post a Comment