Malam ni saya masak kari kambing. Simple saja, tak terlalu pekat sebab suami dan anak-anak tak berapa gemar kalau terlalu pekat. Kari kambing ni sedap dimakan bersama nasi, roti canai, roti apapun sesuai. Teringat waktu kecil dulu, kalau ada baki lauk seperti kari kambing atau daging, emak ataupun nenek selalunya akan buat lempeng atau roti canai keesokan paginya sebagai sarapan kami sekeluarga.
Ini resepi yang saya selalu buat, mudah dan senang. Untuk resepi kali ini saya buat jumlah yang sesuai untuk dimakan untuk 4 orang. Kalau sesiapa yang ahli keluarganya tak ramai di rumah bolehlah merujuk resepi ini sebagai panduan.
Kari Kambing
Bahan-bahan:
300g daging kambing (saya guna frozen mutton) - digaul dengan tepung gandum
2 biji kentang (dikupas kulitnya dan dipotong kiub)
1 biji tomato dipotong dua
2 sudu pes cili
1 bungkus kecil rempah kari (saya guna Rempah Kari Daging Adabi)
Sebiji bawang besar*
2 biji bawang putih*
1 inci halia *
1 pelepah daun kari
1 batang kayu manis
2 biji pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 keping asam gelugor
1 cawan santan cair
garam secukup rasa
(bahan-bahan bertanda (*) dihiris halus)
Cara-cara:
1. Daging kambing yang telah digaul dengan tepung gandum hendaklah dicuci bersih dan ditoskan. Selepas itu direbus sehingga empuk. Ketepikan.
2. Tumis bahan-bahan yang dihiris bersama 1 bungkus rempah kari dan setengah cawan air dan 2 sudu pes cili. Masukkan sekali kayu manis, pelaga dan bunga lawang. Tumis sehingga naik bau dan garing.
3. Masukkan daging, kentang dan air rebusan ke dalam periuk. Tunggu sehingga kentang separuh empuk, masukkan sebiji tomato yang telah dikerat dua tadi.
4. Masukkan santan cair dan asam gelugor.
5. Akhir sekali perasakan dengan garam. Siap.
No comments:
Post a Comment