Thursday, 18 July 2013

Kiambang Bertaut


Salam.  Ini bunga kiambang di halaman rumah saya.  Berbunga kuning.  Tak sangka ia akan berbunga lagi, lewat kemarau dan hujan yang berselang seli.

Entah kenapa pagi ini saya teringatkan emak, ayah, adik-adik-adik, makngah, pakngah dan semua yang mengikat perasaan kekeluargaan.  Saya terfikirkan diri saya, suami dan anak-anak dan segala macam benda yang berputar ligat di dalam kepala.  Terlalu banyak persoalan sehingga satupun tak menghidangkan jawapan.

Apapun saya amat bersyukur dianugerahkan kesihatan yang baik dan keluarga yang bahagia.

Kepada teman-teman, maafkan saya kerana beremosi yang tidak-tidak.  Selamat berpuasa!

Sup Jagung berkrim

Salam semua.   Bila kita mendapat demam selsema ataupun badan tidak berapa sihat, pasti kita mahukan sesuatu yang dapat menenangkan kita..maksud saya 'comfort food.'  Bila anak-anak saya demam selalunya semua tak berselera.   Selalunya saya akan cuba memasak sesuatu yang mudah dimakan dan menyelerakan. Saya pasti ramai ibu-ibu di luar sana juga suka menyediakan masakan yang ringkas dan berkhasiat untuk anak-anak, jadi saya nak share resepi ini dengan semua. Semoga resepi ini boleh menjadi panduan.  Sup jagung berkrim ini saya masak berpandukan resepi dari Chef Florence tetapi saya olah sedikit mengikut keperluan.



Bahan-bahan:

1 liter air

A: 
1 cawan jagung manis ala cream style
1/2 cawan daging ayam yang telah dihiris halus
1 sk tepung jagung
1 sk jus halia (2 inci halia ditumbuk lumat, tapis)
4 titik minyak bijan
2 kiub stok ayam 
4 sk tepung jagung dicampur bersam 1 sb air
1 telur dipukul ringan
1 pokok daun bawang, dihiris halus

Cara-cara:

1. Masak air sehingga mendidih.
2. Masukkan bahan-bahan A dan masak selama 5 minit.
3. Pekatkan dengan campuran tepung jagung.
4. Masukkan telur yang dipukul tadi sedikit demi sedikit hingga sup menjadi pekat.
5. Hiaskan dengan daun bawang, sedia untuk dimakan.

Note: 

Sup ini sedap dicicah bersama roti perancis ketika masih panas.


Selamat mencuba!

Wednesday, 17 July 2013

Kuih Cara Berlauk



Salam semua.  Dalam banyak-banyak resepi kuih Melayu, bagi saya inilah kuih yang paling mudah disediakan.  Ianya menjadi kegemaran kami sekeluarga.   Rasanya sedap, tak pedas, anak-anak kecil pun pasti menyukainya walaupun ada rempah kari di dalamnya.  Kuih ini ada dua perisa, satu yang berempah dan satu lagi yang berintikan gula sahaja.

Kali ini saya share resepi yang berempah ya..InshaAllah entri akan datang saya akan share resepinya yang satu lagi.

Bahan-bahan Inti:

1 sb (sudu besar) minyak masak
1 sb bawang putih yang dikisar lumat
1/4 sb halia kisar
1 biji bawang besar didadu
2 sb serbuk kari
150g ayam, didadu
150g udang tanpa kulit
2 sb air

Bahan-bahan kulit (batter):

150g tepung gandum
350ml/gm air
1/4 sk (sudu kecil) garam
100ml santan kotak
1 sk tepung kastad
1 sk lada putih (white pepper)
1 telur
1 sb minyak masak

Cara-cara:

1. Untuk inti:

Panaskan minyak, tumis bahan-bahan kisar dan bawang besar, sehingga garing.  Masukkan kesemua bahan-bahan lain, kemudian goreng sehingga wangi dan cukup masak.  Ketepikan.

2. Untuk kulit:

Kisarkan kesemua bahan di dalam 'blender' sehingga halus.  Masukkan ke dalam mangkuk besar.

3. Panaskan acuan kuih cara, beruskan dengan minyak, maskkan 1 sudu besar 'batter' kemudian isikan dengan inti sedikit di atasnya.  Tutup acuan kuih dengan tudung periuk dan tunggu sehingga masak.  Alihkan.  Buat sampai habis.  Boleh dihidangkan.

Kuih ini sedap dihidangkan untuk sarapan dan minum petang.  Selamat mencuba!


Note:

Mencampurkan kesemua bahan dan dikisar di dalam blender adalah cara yang terbaik untuk mendapatkan adunan atau 'batter' yang halus dan sebati.

Monday, 15 July 2013

Cucur Udang Tauhu dan sambil cili




Salam semua,
Cucur udang adalah salah satu makanan biasa di Malaysia.  Samada dihidang semasa sarapan atau minum petang.  Di sini saya nak share resepi mudah yang sedap.  Resepi ini sesuai untuk hidangan 4 orang atau untuk famili yang kecil. Kalau untuk hidangan ramai, saya cadangkan ditambah kuantiti bahan-bahannya, sekarang mari lihat resepinya.

Bahan-bahan:

- 2 genggam udang kecil yang telah dibuang kulit; cuci dan toskan saya guna frozen udang yang dibeli di Tesco)
- 1 keping tauhu keras dilenyek lumat
sebiji bawang besar, dicincang
- 1 biji cili merh dihiris halus
- sedikit daun bawang dan sup dicincang halus
- 2 cawan tepung gandum
- 1 biji telur
- sedikit garam
- air secukupnya
- 2 ketul ais batu


Cara-cara:

1. Campurkan semua bahan-bahan ke dalam mangkuk, gaul.  Di sini sukatan air adalah mengikut kesesuaian.
2. Perapkan aduna tepung ini bersama 2 ketul ais selama 1 jam.
3. Panaskan minyak di dalam kuali.
4. Apabila minyak telah panas, ambil sesudu tepung, goreng kuih.  Buat sampai habis.
5. Siap dan boleh dihidangkan bersama sos cili.

Bahan-bahan Sos Cili:

4 sudu sos cili
2 ulas bawang putih ditumbuk lumat
sedikit air
secubit garam

Cara-cara:

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk kecil, masak atas api sederhana sehingga campuran pekat sedikit.  Tutup api.  Boleh dihidangkan.


Note:
1. Udang yang telah dicuci hendaklah ditoskan kerana untuk mengelakkan dari bancuhan tepung berair kerana udang akan mengeluarkan air semasa dimasak.

2. Telur dimasukkan ke dalam bancuhan kerana ia akan menjadikan kuih lembut dan gebu.

3. Air ais digunakan semasa memerap bancuhan kerana ini akan menjadikan kuih rangup.

4. Gunakan minyak yang banyak dan betul-betul panas semasa menggoreng kerana minyak yang sedikit akan menjadikan kuih lembap dan tidak garing kerana tauhu akan menyerap minyak semasa digoreng.


Sambal Kering Cornflakes


Salam semua..

Ini resepi sambal kering cornflakes yang saya buat Sabtu lepas sebagai buah tangan untuk anak perempuan saya yang belajar di TKC.  Bulan puasa ni pelajar-pelajar tidak dibenarkan pulang bermalam di rumah tetapi ibubapa dibenarkan membawa mereka keluar berbuka puasa.  Jadi tengahari sebelum pergi ke Nilai, saya masak juadah ini.  Resepinya sangat mudah tetapi sedap.  Sesuai dijadikan hidangan semasa sahur.

Untuk pengetahuan, sekiranya cornflakes atau emping jagung yang ada sudah dimasuki angin, bakar sebentar di dalam oven untuk menjadikannya rangup semula.  Taburkan di atas dulang pembakar, bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dulu pada suhu 160 celcius selama lebih kurang 5 minit.  Keluar dan ketepikan.

Bahan-bahan:

2 cawan cornflakes

100gm ikan bilis yang teah disiang*
150gm kacang tanah*
(digoreng garing)

4 sudu besar cili mesin
sebiji bawang besar
2 ulas bawang putih
sedikit belacan (kalau suka)
garam dan gula sebagai perasa

minyak untuk menggoreng

Cara-cara:


1. Ikan bilis dan kacang tanah digoreng dahulu, ketepikan.

2. Bawang besar, bawang putih dan belacan ditumbuk lumat, gaulkan bersama 4 sudu cili mesin.
3. Tumis bahan-bahan di atas sehingga garing, perasakan dengan garam dan gula.
4. Kemudian masukkan ikan bilis dan kacang, gaul.  Akhir sekali masukkan 2 cawan cornflakes tadi.  Gaul rata.
5. Siap untuk dihidangkan.

Note: 
Sambal ini boleh disimpan selama lebih kurang seminggu di dalam bekas kedap udara.


Saturday, 13 July 2013

Sambal Goreng Mudah


Ini adalah sambal goreng yang saya buat petang tadi untuk hidangan pelengkap iftar hari ini.  Sambal goreng yang saya buat ini bukanlah seperti sambal goreng yang selalu dibuat oleh orang-orang Jawa.  Emak saya berbangsa Jawa, jadi setiap tahun kami akan memasak sambal goreng sebagai hidangan utama selain lontong semasa menjelang hari raya.  Oleh kerana saya cuma mahukan resepi yang semudah mungkin iaitu menggunakan bahan-bahan yang senang didapati di rumah, jadi saya anggap resepi ini tidak lengkap sekadar masakan yang saya selalu masak di rumah.  Bahan-bahannya sedap dan mudah.  Jom tengok resepinya.

Bahan-bahan:

-Secekak kacang panjang dipotong serong
(lebih kurang 6 batang, cukup untuk sekali makan bagi 4 orang)
-2 keping tauhu keras (dipotong kiub dan digoreng)
-1 keping tempe (dipotong dan digoreng)
-1 sudu besar ikan bilis (direndam)
-3 biji bawang merah
-1 ulas bawang putih
-1 sudu besar pes cili atau cili mesin
-sedikit hati ayam
-minyak untuk menggoreng dan menumis
-garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis sehingga lumat.
2. Tumiskan bahan 1. dengan pes cili sehingga garing.
3. Masukkan hati ayam, goreng lagi sehingga masak.
4. Perasakan dengan garam dan sedikit gula.
5.. Masukkan kacang panjang yang telah dihiris serong tadi, masak sehingga layu.
5. Akhir sekali masukkan tempe dan tauhu yang telah digoreng tadi.  Kacau sebati. Siap.

Selamat memasak!



Kari Kambing

Malam ni saya masak kari kambing.  Simple saja, tak terlalu pekat sebab suami dan anak-anak tak berapa gemar kalau terlalu pekat.  Kari kambing ni sedap dimakan bersama nasi, roti canai, roti apapun sesuai. Teringat waktu kecil dulu, kalau ada baki lauk seperti kari kambing atau daging, emak ataupun nenek selalunya akan buat lempeng atau roti canai keesokan paginya sebagai sarapan kami sekeluarga.

Ini resepi yang saya selalu buat, mudah dan senang.  Untuk resepi kali ini saya buat jumlah yang sesuai untuk dimakan untuk 4 orang.  Kalau sesiapa yang ahli keluarganya tak ramai di rumah bolehlah merujuk resepi ini sebagai panduan.

Kari Kambing


Bahan-bahan:

300g daging kambing (saya guna frozen mutton) - digaul dengan tepung gandum
2 biji kentang (dikupas kulitnya dan dipotong kiub)
1 biji tomato dipotong dua
2 sudu pes cili
1 bungkus kecil rempah kari (saya guna Rempah Kari Daging Adabi)
Sebiji bawang besar*
2 biji bawang putih*
1 inci halia *
1 pelepah daun kari
1 batang kayu manis
2 biji pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 keping asam gelugor
1 cawan santan cair
garam secukup rasa

(bahan-bahan bertanda  (*) dihiris halus)


Cara-cara:

1. Daging kambing yang telah digaul dengan tepung gandum hendaklah dicuci bersih dan ditoskan.  Selepas itu direbus sehingga empuk.  Ketepikan.

2. Tumis bahan-bahan yang dihiris bersama 1 bungkus rempah kari dan setengah cawan air dan 2 sudu pes cili.  Masukkan sekali kayu manis, pelaga dan bunga lawang.  Tumis sehingga naik bau dan garing.

3. Masukkan daging, kentang dan air rebusan ke dalam periuk.    Tunggu sehingga kentang separuh empuk, masukkan sebiji tomato yang telah dikerat dua tadi.

4. Masukkan santan cair dan asam gelugor.

5. Akhir sekali perasakan dengan garam.  Siap.


Friday, 12 July 2013

Kuih Dadar/Kuih Ketayap

Hari ini hari ketiga Ramadhan 2013.   Menu iftar untuk hari ini ialah Asam pedas ikan tenggiri, ikan kembong goreng, sambal belacan mangga dan kuih ketayap.

Kuih ketayap memang selalu saya buat untuk keluarga, resepi yang saya guna sangat mudah.  Semuanya saya blender atau kisar sekali untuk mendapatkan adunan yang halus dan hasil kuih yang gebu.  Adunan yang saya buat ini boleh menghasilkan lebih kurang sedozen kuih ketayap.

Saya hanya menggunakan setitik dua pewarna hijau epal untuk kulitnya.


Jom lihat resipinya:

Bahan-bahan kulit:
Secawan tepung gandum
1 1/2 cawan air masak
sebutir telur
setitik pewarna hijau
secubit garam

Cara-cara:
1.Campurkan semua bahan kecuali pewarna.  Blend sehingga halus.  Kemudian masukkan pewarna, kacau.
2.Ambil sesenduk adunan, tuang ke atas kuali leper, ratakan.  Buat seperti lempeng atau pancake.  Tunggu sehingga permukaan atas bebola angin atau bubble.  Angkat dan ketepikan.
3.Masukkan sesudu  inti, gulung.  Hidang.

Bahan-bahan Inti kelapa 
2 cawan kelapa parut
1 senduk gula merah atau gula melaka
3 sudu gula pasir
2 cawan air
secubit garam
sehelai daun pandan disimpul

Cara-cara:

1.Masak gula melaka dan gula pasir dengan 2 cawan air dan daun pandan, selepas mendidih dan gula larut.  Tutup api.  Sejukkan kemudian tapis.

2.Di dalam periuk yang lain masukkan kelapa parut dan secubit garam.  Masukkan air gula melaka.

3. Masak lagi semua bahan. Gaul sehingga sebati dan kelapa nampak likat. Tutup api.








Sambal Belacan bersama Mangga Muda

Anak saya yang keempat memang pandai makan.  Dari sehari ke sehari dia makin tinggi.. bak kata orang Melaka 'menonjang'.  Dialah yang memberi semangat kepada saya mencuba pelbagai masakan kampung.   

Mungkin orang tak percaya, tapi selama ini saya memang tak berapa pandai makan sambal belacan, jadi memang saya kurang membuatnya.  Bila Dzikri suka sangat makan sambal belacan bila bertandang ke rumah    kawan baik saya,  Lynda; saya pun sibuk mencari resepi sambal belacan.

Saya mengambil resepi ini dari blog Hasue.  http://sue-hasue.blogspot.com/2009/08/sambal-belacan-mempelam-muda.html Bagi saya dia adalah antara blogger yang memang pandai mengolah resepi.  Mungkin dah selalu buat sambal mangga ini, jadi saya cuma agak-agak sahaja berapa banyak cili serta bahan-bahan lain semasa membuatnya kali ini.




Ini resepinya:

Bahan-bahan

2 biji mempelam muda (dikupas dan dihiris memanjang)
Segenggam ikan bilis (dicuci dan ditoskan)
1 inci belacan (dibakar sebentar)
2 batang cili merah
6 batang cili padi
3 biji bawang merah 
secubit garam dan gula pasir (perisakan ikut suka masing-masing)

Cara-caranya:

1. Ketepikan dulu memperlam muda yang telah dihiris tadi
2. Ikan bilis, belacan cili merah dan cili padi serta bawang merah ditumbuk sekali sehingga agak lumat.
3. Campurkan mangga muda yang dihiris tadi, gaulkan sebati.  Kemudian perisakan dengan garam dan gula.

Siap. Sedap dimakan dengan nasi panas.

Asam Pedas Ikan Tenggiri

Saya berasal dari Kg. Serkam Pantai, Melaka.  Makanan asasi di kampung saya ialah asam pedas.  Uniknya asam pedas Melaka ialah ianya berlainan dari satu resepi dengan resepi yang lain, maksudnya kalau ikan-ikan yang agak 'special' seperti ikan tenggiri, ikan parang resepinya berlainan dari ikan-ikan biasa seperti selar dan sebagainya. Malah kalau asam pedas daging atau tetel (daging cincang yang berlemak) resepinya juga berlainan.

Kali ini saya nak kongsi resepi Asam Pedas Ikan Tenggiri.  Ini resepi yang biasa saya masak di rumah.

Untuk pengetahuan semua, saya tidak terlalu terikat dengan resepi yang bersukat, kerana selalu masak masakan ini, jadi saya main campak-campak saja.. Tak keterlaluan kalau saya cakap ini kerana dah selalu buat, jadi dah biasa..lagipun memang makanan asasi orang Melaka pun.

Jom tengok resepinya..



ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI

Bahan-bahan:

2 keping ikan tenggiri (dicuci dan toskan)
5 ulas bawang merah*
1 ulas bawang putih*
2cm halia*
1 inci belacan*
2 senduk cili mesin
1/2 sudu kecil halba
1 sd besar rempah kari
secekak daun kesum/sehelai daun limau purut
air asam jawa
Sedikit terung/kacang bendir
Sedikit perasa (ikut suka)
minyak untuk menumis
* dimesin/ditumbuk bersama

Cara-cara:

Tumis bahan-bahan tumbuk bersama cili mesin, rempah kari dan halba sehingga naik bau dan garing sedikit. Masukkan air asam, daun kesum dan tomato potong. Tunggu sehingga mendidih. Kemudian, masukkan ikan dan perasakan dengan garam. Agak-agak ikan sudah masak dan tomato pun dah layu, tutup api.  Siap.

p.s.  Sekiranya hendak memasak jumlah yang banyak, cuma gandakan saja kuantiti bahan-bahannya.

Selamat mencuba!


Wednesday, 10 July 2013

Kuih Seri Kaya/Seri Muka




Salam dan selamat menyambut Ramadhan.  

Semalam hari pertama Ramadhan 2013.  Hari pertama berpuasa bagi anak bongsu saya; Myasarah.    Si cilik ini nyata teruja nak menyambut Ramadhan.  Malamnya kami pergi bersolat berempat.  Mendengar dia berbisik-bisik membaca ayat-ayat suci..sejuk hati ibu.. 

Siangnya semasa memikirkan apa menu berbuka kami, terdetik hati nak membuat kuih untuk iftar. Blogwalking ke tempat favorite saya www.tiffinbiru.com, terjumpa resepi seri muka.  Memang banyak kali saya cuba membuat kuih tradisi tapi selalu 'fail'..itulah..bak kata emak..dulu tak berminat belajar..sekarang kan dah susah..haha..

Saya ikut resepi Cik Mat Gebu tapi saya olah sedikit mengikut citarasa saya.  Resepi ini ada dicampurkan dengan jintan dan bawang merah.  Dulu nenek saya memang akan meletakkan jintan tapi seingat saya tak pernah ada bawang sekali.  Apapun kuih ini memang sedap. Saya suka pulut yang lebih lembut jadi saya telah masak dulu pulut bersama santan sehingga beras pulut menjadi seperti biji limau, baru saya alihkan ke dalam pengukus.  Dan saya juga talah mengurangkan kuantiti pulut kepada 300g sahaja.

Sebelum itu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cik Mat kerana share resepi yang sedap ini..

Di sini resepinya..

Lapisan Atas (kepala)

300g pulut (direndam semalaman/ saya merendamnya selama lebih kurang 6 jam)
230ml/230g santan 
1 cmt garam
1 helai daun pandan disimpul

Cara-cara:

1.Panaskan kukusan.  Tutup dengan kain bersih. 
2.Pulut dicuci dan ditoskan. Campurkan bersama santan dan secamca teh garam dan daun pandan.
3.Tanak/masak di atas api sederhana seperti memasak nasi.
4.Tunggu sehingga beras pulut menjadi biji limau atau hampir masak, angkat dari api.  
5.Alihkan pulut ke dalam loyang bulat 9", saya sapu minyak ke dalam loyang untuk menggantikan plastik yang disapu minyak (cara sama untuk mengelak pulut melekat); gemburkan dengan garpu, ratakan.
6.Kukus ke dalam pengukus selama lebih kurang 25 minit lg.
7.Keluarkan dari pengukus, tekan-tekan pulut hingga padat, ketepikan.


Lapisan Atas (Kepala)

300ml santan
3 biji telur
180gram gula pasir
4 helai daun padan racik kecil
1/2 camca teh jintan manis
1 biji bawang merah bersaiz kecil
4 1/2 camca teh tepung jagung
2 camca besar +

Cara-cara:

1.Kisar santan bersama daun pandan, jintan manis dan bawang merah hingga halus, tapis dan perah. 

2.Dalam mangkuk lain pukul telur bersama gula pasir dan secubit garam.  Masukkan santan dan jus pandan tadi, kacau rata.  Masukkan tepung jagung dan tepung gandum, kacau rata dan tapis ke dalam periuk.

3.Masak di atas api sederhana, kacau sehingga likat.  Kemudian tuang ke dalam pulut tadi.  Tutup permukaan loyang dengan aluminium foil supaya air tidak menitis ke dalam kuih.

4.Kukus lagi selama lebih kurang setengah jam. Apabila masak, sejukkan kuih dahulu supaya senang dipotong dan dihidangkan.

*Untuk menyejukkan kuih seperti yang diajar arwah nenek saya ialah; letakkan air di dalam dulang, kemudian masukkan loyang kuih.  Biarkan sejuk.

Monday, 8 July 2013

Birthday cuppies for Daniel



Di sini saya nak share cuppies yang saya buatkan untuk anak teman baik saya.  Anak sulongnya lelaki berumur 15 tahun.  Hobinya bermain 'basketball' dan 'Lego'.   Kerana umurnya yang meningkat remaja dan ibunya menyerahkan kepada saya untuk menghias cupcakes ini, so saya hias mengikut trend remaja masa kini, dengan lambang 'facebook' dan lain-lain.

Saya menggunakan cupcake perisa oren kerana 'bithday boy' sangat sukakan orange cake.  Resepinya akan saya paparkan di dalam entri akan datang.  Happy viewing!

Koleh Kacang



Salam kepada semua warga siber.  Hari ni saya paparkan entri pertama saya iaitu kuih tradisional Melayu; kuih Koleh-koleh Kacang.  Terus terang saya memang tak pandai membuat kuih tradisional. Memasak pun pakai campak-campak saja. Dulu pun masa belajar di kolej masakan pun saya di dalam pengkhususan pastri dan kek. Tiba-tiba bila dah berumur macam sekarang ni, teringin betul nak belajar masak masakan tradisional.  Bak kata adik bongsu saya, "awak ni orang dah naik kapal terbang, awak baru terhegeh nak beli tiket," haha besar gelak saya. Tapi nak buat macam mana, baru sampai seru. Hihi.

Ini kali keempat.  Bukan kedua, ketiga, tapi keempat.  Kuih ni memang kesukaan saya masa kecil dulu.  Samada yang dibuat oleh Mak Tok atau pun emak saya.  Kedua-duanya lain resepinya.  Arwah Mak Tok yang saya panggil sebagai 'Emak'  membuat kuih ini tanpa memasaknya.  Caranya; dia akan menggoreng kacang hijau, mesin sehingga halus kemudian dicampurkan dengan air gula melaka dan secubit garam.  Ala-ala 'candy'.  Manakala emak pula mengacaunya atas dapur sama seperti resepi yang biasa.  Sedap, memang sedap.  Pada saya, kalau suami dan anak-anak mintak berulang kali tu, maknanya kuih kita menjadi.

Sebelum itu, saya sarankan gunalah santan segar.  Bagi saya untuk resepi ini, gunakan sebiji kelapa parut. Untuk mendapatkan secawan santan pekat, kisarkan kelapa parut bersama 1 1/2 cawan air. Kalau boleh gunakan air yang telah dimasak supaya kuih kita tahan lama.  Untuk mendapatkan santan kurang pekat (tak berani nak cakap cair sebab santan masih pekat pada kali kedua diperah), mesin lagi kelapa parut bersama 3 cawan air masak.

Ok, mari kita buat kuih!

Ini resepi emak saya:

Koleh Kacang

Bahan-bahan:

1 cawan tepung kacang hijau (saya guna brand Alagapas)
2 cawan + 3 sudu besar santan
secubit garam
2 - 3 sudu minyak kelapa

1/2 cawan gula merah *
1/2 cawan gula pasir*
secawan air*
daun pandan yang disimpul*

(* dimasak bersama sehingga kedua-dua jenis gula larut)

Tahi Minyak:

2 cawan santan pekat

(masak di dalam kuali, kacau selalu sehingga bergentel dan keperangan)

Cara-cara:

1. Masak santan pekat untuk dijadikan tahi minyak.   Kacau santan sehingga bergentel.  Apabila tahi minyak bertukar keperangan, tutup api; ini kerana tahi minyak cepat hangus.  Tapis, ketepikan.  Ambil minyak tapisan untuk dimasukkan ke dalam adunan tepung, lebih kurang 3 sudu besar.

2. Masak tepung kacang hijau bersama santan, secubit garam dan air gula merah yang telah ditapis. Gunakan api sederhana dan terus mengacau adunan sehingga likat.  Untuk mengetahui adunan telah cukup masak, senduk sedikit adunan, tuang semula ke dalam periuk.  sekiranya adunan telah cukup masak ia akan turun agak perlahan dan adunan keluar buih-buih kecil atau gelembung udara.

3.Setelah masak, tuang adunan ke dalam loyang empat segi berukuran 8"x 8"x 2" yang telah digris. Taburkan tahi minyak di atasnya.  Siap.

4.Sejukkan kuih sebelum dipotong.  Untuk pengetahuan semua, resepi ini menghasilkan kuih yang agak lembut jadi kalau boleh saya cadangkan sejukkan di dalam peti ais paling kurang selama 6 jam, barulah dipotong dan dihidangkan.